Powered by Blogger.

Sponsored Ads

Tuesday 22 April 2014

05:18 0












KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Budaya membayar balik pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan peminjamnya meningkat hasil daripada pelbagai program kesedaran dan tindakan penguatkuasaan dijalankan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata sehingga Mac lepas, sebanyak RM54.51 bilion diperuntukkan kepada 2.39 juta peminjam, manakala jumlah pinjaman yang berjaya dikutip semula berjumlah RM5.12 bilion melibatkan 956,018 peminjam.

"Trend peningkatan ini ditunjukkan dengan mengambil kira jumlah bagi tahun 2011, PTPTN telah berjaya mengutip sejumlah RM737 juta, pada 2012 sejumlah RM800.47 juta dan RM1.2 bilion dikutip untuk tahun lepas," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis pelancaran Sahabat PTPTN peringkat nasional dan penyampaian hadiah Simpanan Perdana Skim Simpanan Nasional (SSPN-i) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari Selasa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata sejak ditubuhkan 16 tahun lepas, PTPTN telah menyumbang kepada usaha kerajaan menjayakan pendemokrasian pendidikan bagi membolehkan lebih ramai rakyat mempunyai akses kepada pengajian tinggi.

Melalui penubuhannya, kira-kira 200,000 pelajar berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta menggunakan pembiayaan PTPTN setiap tahun sekali gus membuktikan ia masih relevan dalam konteks masyarakat hari ini, katanya.

"Kewujudan PTPTN adalah selaras dengan objektif utama penubuhannya iaitu memastikan pembiayaan yang efisien disediakan kepada pelajar-pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi selaras dengan hasrat kerajaan bahawa tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab kewangan," kata Muhyiddin.

Beliau berkata selain berperanan menyediakan pembiayaan pendidikan, PTPTN turut memperkenalkan SSPN-i bertujuan untuk menggalakkan budaya menabung dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2004 sehingga Mac lepas, jumlah pembukaan akaun SSPN-i telah mencecah 1.9 juta akaun dengan jumlah deposit RM1.2 bilion.

"Kerajaan berkeyakinan penuh dengan adanya skim ini masalah keciciran dalam kalangan pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi akan dapat diatasi.

"Pelaksanaan SSPN-i juga menyediakan peluang kepada orang ramai untuk membuat penabungan dan setiap ringgit yang disimpan diberi jaminan sepenuhnya oleh kerajaan," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan bahawa kadar dividen bagi SSPN-i adalah sebanyak 4.25 peratus iaitu lebih tinggi berbanding kadar faedah atau keuntungan untuk akaun simpanan yang diberi oleh kebanyakan institusi kewangan.

Mengenai program Sahabat PTPTN, beliau berkata ia merupakan antara kemudahan perkhidmatan kepada peminjam melibatkan promosi bayaran balik pembiayaan, pembukaan akaun dan penambahan deposit SSPN-i melalui majikan dalam sektor awam dan swasta menerusi kaedah potongan gaji.

0 comments