Powered by Blogger.

Sponsored Ads

Sunday 27 April 2014

17:44 0
Bersedia dalam segala aspek demi mempertahankan negara daripada ancaman 

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu memberi tumpuan terhadap aspek penyelenggaraan aset dan sumber manusia supaya tugas diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sempurna. 


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah kemampuan aset dan sumber manusia sedia ada menunjukkan TLDM bersedia dalam segala aspek untuk digerakkan demi mempertahankan negara daripada ancaman. 

"TLDM berupaya menghantar asetnya bagi memikul amanah yang dipertanggungjawabkan menerusi peristiwa kapal MISC ditawan lanun di perairan Teluk Aden, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah hinggalah tragedi kehilangan pesawat MH370," titah baginda pada Istiadat Penganugerahan dan Perarakan Panji-Panji sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 TLDM di sini, semalam. 

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fai-iz Petra ibni Sultan Ismail Petra yang juga Laksamana Pertama Kehormat Pasukan Sukarela TLDM, berangkat sama. 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, turut hadir. 

Sultan Selangor yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM bertitah, peristiwa pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Februari tahun lalu membuktikan musuh datang pada waktu tidak dijangka. 
"Peranan besar TLDM dalam mengawal dan melindungi kawasan perairan Sabah menghalang serta menggagalkan percubaan pengganas lain untuk menyelinap masuk, sekali gus memastikan ancaman itu dapat ditangani dengan cepat dan berkesan," titah baginda. 

Sultan Sharafuddin turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada anggota dan pegawai TLDM yang terbabit secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Penerbangan Malaysia MH370 di Laut China Selatan dan Lautan Hindi. 

Titah baginda, komitmen warga TLDM terutama yang bertugas di kapal yang terbabit dalam operasi SAR bersama pasukan keselamatan antarabangsa lain bagi mengesan pesawat amat dibanggakan. 

"Beta bangga kerana TLDM kini menjadi angkatan laut yang berupaya beroperasi secara tiga dimensi dengan kehadiran aset kapal selam yang menjadi kebanggaan negara dan menjadikan TLDM setanding dengan tentera laut negara maju yang lain," titahnya. 

Terdahulu, baginda berkenan memeriksa kawalan kehormat tiga kontinjen membabitkan 18 pegawai dan 385 anggota lain-lain pangkat dengan diiringi pancaragam pusat TLDM

0 comments