Powered by Blogger.

Sponsored Ads

Friday 25 April 2014

16:30 0






BOGOR: Dua puak bersaing daripada parti Islam tertua Indonesia bersetuju untuk berdamai Rabu lalu, berikutan perpecahan yang mengancam untuk menyekat ia dari menyokong calon bagi pilihan raya presiden. Mesyuarat tertutup Parti Persatuan Pembangunan atau PPP, di Bogor bersetuju bahawa Suryadharma Ali akan dicalonkan semula sebagai pengerusi parti, selepas puak yang diketuai oleh Setiausaha Agung M Romahurmuzy pada hujung minggu lalu mengisytiharkan beliau tersingkir. 



Sebagai balasan, parti itu bersetuju untuk tidak membentuk kerajaan campuran dengan Parti Gerakan Indonesia Raya, atau Gerindra, yang mana calon presidennya, Prabowo Subianto, sebelum ini secara unilateral dicadangkan oleh Suryadharma, sekali gus mengecewakan Romahurmuzy dan ahli PPP lain. 

Mesyuarat perdamaian Rabu lalu diseliakan oleh ulama kanan Maimun Zubair, ketua syariah perhimpunan parti Islam. 

“Saya mengakui hari ini tamatnya perbezaan pendapat yang berlaku,” kata Suryadharma selepas mesyuarat itu. “Kami (PPP) kini kembali kepada dasarnya. Saya tidak mahu kembali melihat ke belakang. Sekarang kita pandang ke hadapan.” 
Beliau juga memohon maaf kepada penyokong PPP, sambil berkata pertikaian pihak dalaman hanya sebahagian daripada dinamik biasa dalam politik parti. 

“Anggaplah apa yang berlaku sebagai tesis yang mendorong kepada satu antitesis, yang akan mewujudkan keadaan yang lebih baik,” kata Suryadharma seperti yang dipetik Kompas.com. 

Beliau menekankan bahawa sokongan awalnya terhadap pencalonan presiden Prabowo adalah pilihan peribadinya dan bukan satu keputusan parti, seperti yang diisytiharkan sebelum ini. 

Sementara itu, Romahurmuzy berkata mesyuarat Rabu lalu itu adalah susulan daripada mesyuarat di Jakarta malam Selasa lalu yang turut diselia Maimun. Romahurmuzy mengaitkan perdamaian itu dengan campur tangan Maimun dalam konflik berkenaan, sambil mengatakan dia sendiri sebelum ini pernah cuba menghubungi Suryadharma untuk berdamai namun diabaikan. 

“Bagi saya, kerana PPP diasaskan oleh ulama dan Mbah Mun (Maimun) adalah ulama tertinggi parti, tidak ada pilihan lain bagi saya melainkan untuk mendengar dan taat,” jelas Romahurmuzy kepada Antaranews.com. 

Kedua-dua mesyuarat diadakan selepas Maimun, 87, mengeluarkan perintah Selasa lalu menyeru kedua-dua puak untuk berdamai, dan membatalkan keputusan awal yang dibuat oleh Romahurmuzy dan pegawai kanan PPP, serta keputusan berikutnya untuk menggantung Suryadharma sebagai pengerusi. 

Di bawah enam keputusan rasmi, Romahurmuzy dan Timbalan Pengerusi Suharso Monoarfa, dilantik semula. 

Keputusan itu juga membatalkan gabungan dengan Gerindra yang diisytiharkan oleh Suryadharma minggu lalu.

0 comments