Powered by Blogger.

Sponsored Ads

Sunday 27 April 2014

02:24 0
JASIN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menyatakan pendiriannya untuk tidak bersetuju dengan desakan DAP supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang sekiranya mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan. 

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sebagai cabang muda dalam PKR dan pakatan itu, AMK tidak akan bersetuju terhadap desakan mana-mana pihak terutamanya rakan dalam pakatan pembangkang untuk mengeluarkan mana-mana parti daripada pakatan tersebut tanpa sebab kukuh. 


Bagaimanapun, Pengerusi PKR Negeri Melaka itu berkata AMK memahami hasrat dan kemarahan yang ditunjukkan pemimpin DAP berkaitan isu hudud dan menegaskan isu itu perlu diselesaikan secara muafakat bersama pimpinan pakatan pembangkang. 


Beliau ditemui pemberita selepas mengundi di Taman Bemban Utama di sini hari ini untuk menentukan kepimpinan PKR bagi penggal 2014 hingga 2017 dan beliau turut bertanding bagi jawatan naib presiden. 

PAS Kelantan melalui anggota Parlimennya merancang untuk membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember ini. 

Pada Jumaat lalu, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook dilaporkan sebagai berkata PAS perlu berundur daripada pakatan itu jika bertegas untuk tetap dengan keputusannya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan. 

0 comments